Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."
Bulan Ramadan, satu bulan yang sememangnya dinanti- nantikan oleh sekalian umat Islam. Penantian yang boleh diibaratkan sebagai penantian seorang sang kelana yang duduk menantikan turunnya hujan emas. Ya, inilah dia bulan barakah, bulan yang pada bahagian awalnya merupakan rahmat, pada pertengahannya merupakan keampunan dan pada akhirnya merupakan kelepasan daripada neraka. Tidak salah sekiranya saya mengatakan bahawa bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh dengan ganjaran bonus ‘emas’ bagi mereka yang dahagakan dan inginkan pahala, redha dan rahmat Allah dalam usaha untuk mencapai syurga-Nya di bulan yang mulia ini, yang sememangnya dijanjikan kepada mereka yang beriman kepadaNya.
Namun, timbul persoalan, sejauh manakah keistimewaan bulan Ramadan ini dinikmati oleh umat Islam? Adakah kualiti yang dicari? Ataupun kuantiti yang dicari? Tidak dapat dinafikan, di sebalik mengerjakan ibadah puasa, kebanyakan umat Islam tampaknya sering lalai dan lupa. Mereka hanya merasakan bulan Ramadan hanyalah sekadar berpuasa. Kita dapat melihat di Negara kita sendiri. Bukan ganjaran pahala yang diutamakan namun santapan juadah untuk berbuka menjadi tumpuan. Hidangan untuk berbuka tidak sah sekiranya makanan tidak memenuhi ruangan meja yang ada. Bazaar Ramadan lebih dijadikan tumpuan orang ramai. Bukan masjid diimarahkan malangnya. Jemaah tarawih hanya padat pada minggu pertama Ramadan. Kemudian, hari demi hari, bilangan jemaah akan berkurang, bak kata orang- orang tua ‘hangat- hangat tahi ayam’. Semangat untuk beribadah terawih hanya wujud pada permulaan Ramadan, di mana semangat tersebut akan hilang bagaikan lilin yang ditiup padam satu demi satu. Bukanlah diri ini mengatakan setiap orang Islam bersikap demikian. Tidak! Namun kebiasaan keadaan atau fenomena, inilah yang terjadi.
Jika begitu, di manakah kemanisan Ramadan? Di manakah keistimewaannya? Adakah ia terletak pada makanan yang beraneka jenis? Atau ganjaran pahalanya? Fikirkan.
Ayuh! Marilah kita sama- sama menyemarakkan kemeriahan bulan Ramadan. Bagaimana? sudah tentu dengan mangamalkan amalan- amalan yang disunatkan pada bulan Ramadan. Antara perkara- perkara sunat yang boleh kita amalkan:
1. Bersahur dan melewatkan waktunya,
- Dari Zaid bin Tsabit radhiAllahu ‘anhu berkata: “Kami sahur bersama-sama dengan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam, kemudian kami melaksanakan solat.” Ada seseorang bertanya: “Berapa lama antara sahur dengan solat itu?” Ia menjawab: “Kira-kira 50 ayat.” (HR Bukhari & Muslim
2. Menyegerakan berbuka puasa
- - Dari Sahl bin Sa’d radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Manusia itu selalu dalam kebaikan selama mereka segera berbuka puasa.” (HR Bukhari & Muslim)
3. Berdoa sepanjang berpuasa dan ketika berbuka
- Diriwayatkan oleh Turmudzi dengan sanad yang hasan, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ada 3 golongan yang tidak ditolak do’a mereka, iaitu orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, pemimpin negara yang adil dan orang yang teraniaya.”
4. Menjauhi perkara- perkara yang bertentangan dengan ibadah puasa
- Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: ‘Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan perbuatan buruk, maka Allah tidak memerlukan ia meninggalkan makan dan minumnya.” (HR Bukhari)
5. Bermurah hati dan banyak menderma- Dari Ibnu Abbas radhiAllahu ‘anhu katanya: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam adalah seorang yang paling dermawan, dan sifat dermawannya itu lebih menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika ditemui Jibril. Biasanya Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan, dibawanya mempelajari al-Quran. Maka Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam lebih murah hati melakukan kebaikan dari angin yang bertiup.” (HR Bukhari)
6. Menggandakan amalan membaca dan mempelajari al- Quran- (Hadith Ibnu Abbas di atas menyatakan bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bertadarus (mempelajari al-Quran) dengan Jibril pada setiap malam Ramadhan.)
7. Memberi makan untuk berbuka puasa- Dari Zaid bin Khalid Al-Juhanny radhiaAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa yang memberi makan untuk berbuka orang yang berpuasa, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu.” (HR At Turmudzy)
8. Mendirikan malam dengan solat sunat (solat Terawih dan solat tahajjud)Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: “Barangsiapa yang mengerjakan solat sunnat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala dari ALLAH, maka akan diampunilah dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari & Muslim)
9. Giat beribadah pada 10 hari terakhir Ramadan- Rasulullah apabila masuk malam 10 terakhir Ramadan, Baginda menghidupkan malam (dengan ibadat), mengejutkan keluarganya (bangun beribadat), bersungguh-sungguh (dalam beribadat) dan uzlah (mengasingkan diri) daripada isteri-isterinya.” (HR Bukhari dan Muslim)
10. Beriktikaf pada 10 terakhir Ramadan-Dari Ibnu Umar radhiAllahu ‘anhu berkata: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.” (HR Bukhari & Muslim)’
